Seperti yang kita tahu doa itu
senjata bagi orang Islam. Senjata yang paling tajam selepas usaha dan tawakal.
Dimana kedudukan keyakinan dan kepercayaan kita terhadap ALLAH S.W.T dinilai
dari keadaan kita berdoa.
Ketika ALLAH mengabulkan doa kita.
Syukur perlulah terlebih dahulu kita
ucapkan saat doa yang kita pinta diberikan, ditunaikan oleh ALLAH Yang Maha
Memberi. Alhamdulillah, apa yang dihajati terjadi, ditunaikan, diberikan dari
Tuhan sekalian alam yang menciptakan setiap sesuatu.
Nikmat yang dirasai sewaktu itu
sebenarnya adalah satu ujian buat kita. Andai sahaja kata syukur kita leka
untuk ucapkan, serlahkan buat Sang Pemberi, pastinya Sang Pemberi merasa hampa
dengan hambaNYA. Sepertimana manusia yang memberi, dan mengharapkan balasan,
dan kadang dengan ucapan 'Terima Kasih' membuatkan si pemberi merasa senang
hati, merasa dihargai dengan pemberian itu.
Oh! Jangan disangka ALLAH seperti
hambaNYA. Tidak sama sekali! ALLAH S.W.T sebenarnya langsung tidak kisah akan
kata syukur itu. Kerana ALLAH S.W.T Maha Memiliki semua yang ada di langit dan
di bumi. Namun, bukankah ALLAH S.W.T telah berfirman "Jika kamu bersyukur,
maka akan aku tambahkan pemberianKU". Lalu rugikah kita untuk mensyukuri
nikmat yang diberi? Bukankah kita akan mendapat lebih banyak nikmat andai kita
mensyukuri segala pemberianNYA?
Ya! Ujian samaada kita mengingatiNYA
sewaktu doa kita dikabulkan adalah adakah kita mensyukuri nikmat yang diberikan itu.
Ketika doa kita tidak dimakbulkan.
Dah lama kita meminta. Dah lama kita
berdoa. Bukan setakat berhari-hari. Terkadang berbulan-bulan. Bahkan sehingga
bertahun-tahun.Tapi sehingga hari ini, permintaan kita tak kunjung tiba bayangnya.
Entah berapa titis air mata yang
bercucuran. Setiap kali tangan diangkat selepas solat, saat itu juga hati
sebak. Meminta dengan penuh pengharapan.
Letih, penat, lelah dalam berdoa.
Hingga ada antara kita yang berputus
asa untuk berdoa.
Hingga ada antara kita yang mula
mempersoal,
"Ya ALLAH, bila KAU mahu
makbulkan doa ku? Ya ALLAH, kenapa KAU belum makbulkan doa ku? Ya ALLAH, apa
silapku sehingga doa ku masih belum KAU makbulkan? Ya ALLAH, apakah kerana
dosa-dosa silamku? Ya ALLAH, tak terimakah ENGKAU akan taubatku?"
Minda penuh persoalan. Penuh tanda
tanya. Tapi entah pada siapa soalan perlu dilontarkan, untuk mendapatkan
jawapan.
Saat bila mana persoalan memenuhi
ruang fikiran, bibit-bibit prasangka mungkin akan mula terbit.
Bukankah kitab ALLAH tertulis,
"Dan Tuhan kamu berfirman:
Berdoalah kamu kepadaKU nescaya AKU perkenankan doa permohonan kamu"
(Surah Ghafir ayat 60)
Tapi... kenapa doaku masih belum
dimakbulkan? Bukankah ALLAH tak pernah memungkiri janjiNYA? Habis tu, KENAPA?
Kita mula mempersoalkan sedangkan kita lupa memuhasabah diri.
Lupakah kita
pesan Baginda SAW?
"Sentiasa doa dimustajabkan
untuk seorang hamba ALLAH selagi mana dia tidak berdoa untuk membuat sesuatu
dosa, atau memutuskan silaturrahim, selagi dia tidak tergopah-gapah.
Ditanya
kepada Baginda : Apa itu tergopoh-gapah ?
Sabda baginda : Apabila dia berkata:
Aku telah pun berdoa! Aku telah pun berdoa! Tetapi aku tidak nampak pun
dimustajabkan untukku, lalu dia berhenti ketika itu dan meninggalkan doa."
(Hadis Riwayat Muslim)
Gopoh gapah
Benar. Kita gelojoh. Tamak. Gopoh.
Meminta sesuatu yang dirasakan baik untuk kita, sedangkan sebenarnya ALLAH lah
yang tahu apa yang terbaik buat kita. Apa, bila, di mana. DIA Yang Maha
Mengetahui.
Bila hati kita penuh persoalan, kita
sebenarnya terlupa pada satu perkara. Keyakinan! Ya, Keyakinan yang padu kepada
ALLAH S.W.T tanpa sedikitpun terselit rasa prasangka.
Keyakinan bahawa doa kita PASTI akan
dimakbulkan ALLAH. KEYAKINAN yang sebenarnya merupakan piawaian KEIMANAN kita.
Maka di situlah ujian hati dan iman kita. Di situ, ALLAH emnguji kesabaran dan ketabahan kita sebagai hambaNYA
-------------
"Berdoalah kamu kepada ALLAH dalam keadaan kamu yakin dengan kemustajabannya. Ketahuilah sesungguhnya ALLAH tidak menerima doa dari jantung hati yang lalai dan alpa"
(Hadis Riwayat al-Tirmizi, dinilai
sahih oleh al-Albani)
TRUST in His timing,
RELY on His promises,
WAIT for His answers,
BELIEVE in His miracles,
REJOICE in His goodness,
RELAX in His presence.
Jika hati masih tertanya-tanya. Jika
hati masih ragu-ragu.
When in despair turn to DU'A
When in need of regular guidance
turn to PRAYER
When in need of understanding turn
to ALLAH
Dengarlah Doamu
Bila mengharapkan sesuatu, kita
berdoa. Berdoa dan terus berdoa. Menyebut dan terus menyebut.
Hingga terlupa satu perkara.
Mendengar doa sendiri.
"Ya ALLAH, jika ini yang
terbaik, permudahkanlah urusanku. Perkenankanlah permintaanku. Berilah yang
terbaik untukku. Berilah petunjukMU padaku."
Ingatlah, kita meminta apa yang kita
rasakan terbaik dengan memohon ALLAH TUNJUKKAN JALAN. MEMOHON ALLAH MEMBERI
PANDUAN. Dan jawapan ALLAH? Mungkin dalam bentuk memperkenankan doa kita
seperti yang diminta ATAU mungkin ALLAH menangguhkannya atau memberikan
"hadiah" lain yang jauh lebih baik buat kita. Tapi itulah yang
TERBAIK untuk kita.
"ALLAH would never rejected our
du'a, but HE may REDIRECT it to the correct path towards our definite
fate"- Anonymous
Teruslah Berdoa
Bila mana ALLAH masih memberikan
kekuatan kepada kita untuk berdoa, teruslah berdoa. Mintalah pertolongan
daripada ALLAH untuk kurniakan kesabaran pada kita dalam berdoa. Untuk
mengurniakan keikhlasan kepada kita dalam berdoa. Untuk terus mendidik jiwa
kita menjadi hamba yang hanya bergantung harap semata-mata kepada ALLAH.
Apa yang diberikan sebenarnya lebih
banyak daripada apa yang kita inginkan.
Nikmat yang telah ALLAH beri, jarang
kita syukuri. Nikmat yang belum dimiliki, itulah yang sering kita ingini...
Namun tidak salah untuk terus meminta... tetapi pintalah dengan hati yang
bersyukur. ALLAH tidak akan gerakkan hati kita untuk berdoa, jika DIA tidak
ingin memakbulkan doa itu. Justeru, kemampuan hati kita untuk berdoa... itulah
yang terlebih dahulu perlu kita syukuri!
"Syukur... kerana dikurniakan
hati yang masih mampu bersyukur". Ustaz Pahrol Mohamad Juoi
Moga hari esok kita bangkit dengan
jiwa penuh syukur kerana masih diberi kekuatan untuk berdoa.
Alhamdulillah 'ala
kulli hal. Dan satu hari nanti, apabila permintaan kita dimakbulkan, pandanglah
sejenak ke belakang. Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah.
" ... Sesungguhnya ALLAH tidak
memungkiri janjiNya"
(Surah ali-Imran ayat 9)
"I am not worried about whether
my du'a will be responded to, but rather I am worried about whether I will be
able to make du'a or not. So if I have been guided (by ALLAH) to make du'a,
then (I know) that the response will come with it." - Saidina Umar Ibnu
Al-Khattab
Berdoalah, kerana ALLAH sentiasa
mendengar.
ALLAH berfirman yang bermaksud;
"Dan apabila hamba-hambaKU bertanya kepadamu mengenai AKU maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya AKU (ALLAH) sentiasa hampir. AKU perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila
dia berdoa kepadaKU. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKU (dengan mematuhi
perintahKU), dan hendaklah mereka beriman kepadaKU supaya mereka mendapat petunjuk
"
(Surah al-Baqarah ayat 186)
Olahan dari tulisan Fakhriah Ramli