Mulut saya terkumat-kamit
melafazkan tasbih, tahmid dan takbir. Terasa tenang dan damai di hati ini kala
kalimah-kalimah tayyibah itu dibaca bertali-tali.
“Subhanallah…walhamdulillah..walaillaha
illallah Allahuakbar,” semakin asyik saya dengan alunan zikir yang dibaca,
terasa semakin damai dan syahdu menyelinap ke dalam jiwa. Betapa indahnya saat
bibir melantunkan kalimah memuji-NYA, hati menyambut. Penuh rasa bahagia. Sukma
bergetar bersama kerinduan yang entah bila bertemu penghujungnya. Hanya DIA
yang Maha Tahu. Justeru DIA yang menerbitkan kerinduan itu.
“Subhanallah..walhamdullilah..wala
ilahaillallah.. Allahuakbar..”
Kedengaran di telinga, Kak Long
dan Kak Ngah turut mengikuti setiap lafaz yang dialunkan. Sesekali mereka
melagukannya dengan suara yang kuat diiringi ketawa kecil. Masih belum mengerti
dan memahami keindahan yang lahir daripada patah-patah perkataan agung itu.
Hati saya sedikit terusik. Tersentuh dengan gelagat anak-anak yang masih belum
“masak” dengan kehidupan dunia yang penuh warna.
Saya menoleh ke belakang.
Mengerutkan sedikit raut muka sambil menggeleng-gelengkan kepala. Tanda tidak
suka.
MAKANAN HATI
Usai solat Maghrib bejemaah, saya membalikkan
badan. Menghadap wajah bersih Kak Long dan Kak Ngah saling berpandangan lalu
tersenyum malu-malu. Mungkin mereka tahu bahawa teguran saya sebentar tadi akan
dilanjutkan pula dengan kata-kata yang lebih berisi.
“Kak Long, tolong ambilkan Ummi
sehelai kertas putih, majalah dan pen hitam. Sebatang pun cukup.” Kak Long
bingkas bangun.
“Ini, Ummi,” Kak Long
menghulurkan barang-barang yang diminta. Saya menerima dengan ucapan terima
kasih lalu meletakkan barang-barang tersebut di hadapan. Di tengah-tengah,
betul-betul di antara saya, Kak Long dan Kak Ngah.
Sejurus itu, saya diam kembali.
Berfikir untuk memilih pembuka kata yang sesuai buat peringatan anakanda
berdua. Kak Long dan Kak Ngah sabar menanti bicara.
“Kak Long dan Kak Ngah ingat tak
tazkirah Ummi tentang hati?” Saya memulakan dengan satu soalan.
“Tentang badan perlu makanan.
Begitu juga dengan hati pun memerlukan makanan,” saya menambah perencah
bayangan. Terlihat kedutan pada dahi kedua-duanya diikuti anggukan kepala
mereka selang beberapa ketika.
“Kalau hati tak dapat makanan
nanti dia sakit, kan Ummi?” Kak Ngah melontarkan pertanyaan sekali gus
menandakan telah ada sedikit kefahaman mengenai
hati dan jiwa sebagaimana yang pernah saya sampaikan.
TITIK HITAM
“Alhamdulillah… betullah tu.
Hati kita seperti tubuh luaran juga. Sangat perlu kepada makanan untuk kekal
sihat dan kuat. Tapi apakah contoh makanan untuk hati? Nasi? Coklat? Ke
tomyam?” Sekali lagi saya bertanya untuk mencukil pengetahuan sedia ada pada
kedua-duanya.
Mendengar perkataan tomyam
menyeringai ketawa mereka berdua. Apa tidaknya itu makanan kegamaran mereka.
“Solat dan membaca al-Quran,”
pantas Kak Long memberi jawapan. Kali ini saya membalas dengan senyuman.
“Sekarang Ummi nak Kak Long dan
Kak Ngah tutup mata,” saya mengarah sambil tangan mengambil kertas putih,
majalah dan pen hitam. Dengan menggunakan pen berdakwat hitam itu, saya buatkan
satu titik pada kertas putih dan satu titik lagi pada satu helaian muka surat
pada majalah yang diatasnya penuh dengan
coretan dan tinta hitam.
“Ok, boleh buka mata,” saya
berkata sambil menyuakan kertas putih kepada anakanda berdua. Terpisat-pisat
mereka melihat kertas putih di hadapan mata.
“Cuba Kak Long, Kak Ngah cari
titik hitam pada kertas putih ni?” pinta saya. Mereka segera menunjukkan titik
hitam yang tertera pada lembaran putih bersih itu. Mereka tersenyum. Mudah!
“Baik… sekarang cuba cari titik
yang sama pada majalah ini pula,” pinta saya seterusnya. Kak Long dan Kak Ngah
mendekatkan majalah tersebut rapat ke muka. Terlihat kesukaran mereka menemukan
titik yang serupa pada majalah di hadapan mata. Namun percubaan mencari
diteruskan sehingga akhirnya, mereka mengalah. Mereka gagal mencarinya. Payah
dan susah!
HATI YANG HITAM
Saya membelai kepala
kedua-duanya sambil tersenyum puas. Langkah kedua berakhir, menyusul pula
langkah ketiga.
“Kak Long dan Kak Ngah tahu apa
bezanya. Kenapa lebih mudah melihat titik yang ada di atas kertas putih
berbanding titik pada majalah yang
bertulis?” Saya bertanya untuk menguji pemahaman mereka.
“Sebab kertas putih ni kosong,
senanglah nampak titik yang satu ni je,” jawab Kak Long bersahaja. Kak Ngah
mengangguk kepala mengiakan jawapannya.
“Bagus, tepat sekali jawapan Kak
Long. Ummi sekadar membuat perumpamaan dan contoh supaya Kak Long dan Kak Ngah
mudah faham. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang maksudnya: “Sesiapa yang
melakukan satu dosa, maka akan tumbuh pada hatinya satu titik hitam, sekiranya
dia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu daripada hatinya. Jika dia tidak
bertaubat, maka titik hitam itu akan terus merebak sehingga seluruh hatinya
menjadi hitam.” (Riwayat Ibn Majah no. 4244)
“Kertas putih dan majalah umpama
hati manakala titik hitam pula umpama dosa. Syaitan akan selalu menghasut
manusia untuk melakukan kejahatan dan maksiat kepada Allah. Ummi, ayah dan
semua orang tidak terlepas daripada hasutannya. Kalau kita dah buat baik dan
ikut perintah Allah sekalipun, syaitan akan hasut supaya kita riyak, bangga
diri dengan amalan baik tersebut.”
HATI YANG BERSIH
Akan tetapi, jika hati kita
bersih seperti kertas putih ini, sekali sahaja terlintas perasaan riyak dan
bangga diri dalam diri, kita akan mudah sedar dan segera meminta ampun daripada
Allah. Inilah hati orang yang beriman dan bertaqwa. Allah s.w.t. berfirman di
dalam al-Quran yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang bertaqwa apabila mereka
ditimpa was-was daripada syaitan, mereka akan ingat kepada Allah, maka ketika
itu juga mereka melihat kesalahan-kesalahannya.” (Surah al A’raf 7:201)
“Tetapi, cuba Kak Long dan Kak
Ngah bayangkan kalau hati kita ni penuh dengan warna hitam seperti majalah ini.
Jangankan riyak, sikap sombong yang nampak secara lahir pun akan sulit untuk
kita kesan dan insafi kerana hati yang penuh dosa,” tambah saya lagi.
“Sebab tu kalau hati kotor,orang
mudah buat jahat ye Ummi?” Serius Kak Ngah bertanya untuk beroleh jawapan
pasti.
“Ya. Sebab itu Ummi tak gembira
bila Kak Long dan Kak Ngan main-main masa berzikir tadi. Salah satu cara untuk
dapatkan hati yang bersih adalah dengan zikir. Allah suka sangat jika kita banyak
mengingati Allah, menginsafi kebesaran Allah dan menyedari keagungan Allah.
Insya-Allah, dengan selalu berzikir hati kita akan menjadi bersih, lembut,
lebih halus dan lebih peka untuk menyedari kesilapan dan dosa yang kita lakukan
terutama dalam hal-hal yang tersembunyi seperti penyakit-penyakit hati tadi,”
saya mengakhiri kata-kata.
ANTARA DUA HATI
Saya menginsafi
bahawa hati merupakan benteng keteguhan iman seorang manusia. Namun,
apabila hati manusia telah mati dan tidak bersinar dengan cahaya hidayah, amat
mudah bagi syaitan untuk menewaskannya di gelanggang mujahadah. Nafsu yang
sentiasa mengajak kepada kemaksiatan menjadi bertambah kuat dengan bantuan
syaitan laknatullah. Maka terbukalah pintu segala kejahatan ke dalam diri,
kerana syaitan itu meresap ke dalam jasad anak Adam sebagaimana mngalirnya
darah di dalam tubuh. Kemanisan dan kelazatan beribadat tidak lagi dapat
dirasakan. Tembok pengadang terbina, menghalang kepada masuknya cahaya ilmu dan
iman.
Walaupun pengetahuan setinggi
langit, tetap sahaja ia tidak meresap ke dalam jiwa. Tidak ada daya dan
kekuatan untuk mengamalkannya. Inilah impak dari hati yang hitam dan berdebu
dengan noda dan dosa. Benarlah firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Sebenarnya
ayat-ayat Kami tidak ada cacatnya, bahkan mata hati mereka telah diseluputi
kekotoran dan sebab kufur dan maksiat yang mereka kerjakan.” (Surah
al-Nutaffifin 83:14)
Saya menyambung zikrullah,
mengingati-Nya, membesarkan-Nya dengan sepenuh jiwa. Bermula dengan suara yang
jelas di telinga beralih semakin sayup menekan
sukma. Bantulah kami ya Allah untuk membersihkan hati. Menyisih segala
mazmumah yang bersarang dalamnya sehingga mampu kami bertemu-Mu kelak dengan
keimanan yang sempurna, amin.
“Orang yang beriman itu (yang
sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan
sifat-sifat-Nya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibaca kepada mereka
ayat-ayat-Nya, menjadikan mereka bertambah iman mereka.” (Surah al-Anfal 8:2)
Mencari dan terus mencari cinta
ILAHI…
copy and paste
0 comments:
Post a Comment